Terengganu Darul Iman

Negeri Terengganu Darul Iman merupakan sebuah negeri yang cantik dengan budaya menarik terletak di zon pantai timur. Mempunyai lapan buah daerah iaitu Kemaman, Dungun, Marang, Kuala Terengganu, Hulu Terengganu, Besut, Setiu dan daerah bongsu iaitu Kuala Nerus. Dengan pasir pantainya yang memutih dari Kemaman ke Besut. Dilindungi pula oleh pulau pulau seperti Pulau Redang, Pulau Kapas, Pulau Perhentian juga Pulau Tenggol. Terengganuwebcam.blogspot.com yang memaparkan gambar spontan dimana saja dalam dan luar Negeri Terengganu Darul Iman.Disamping gambar produk kesihatan diri bagi sesiapa yang memerlukan. Sebarang komen, maklumat, pandangan atau pendapat; boleh disalurkan ke mohamadbidin@ymail.com atau mohamadb@tganu.uitm.edu.my HP No: 01120878674

Kuala Dungun

Hari nak aku ceritakan serba sedikit sejarah mengenai daerah Dungun. Atau yang lebih tepat lagi ialah sejarah Kuala Dungun. Mungkin ramai yang tidak tahu mengenai sejarah berkenaan, kerana ianya tidah dibukukan. Hanya penceritaan dari mulut ke mulut semenjak dari dulu lagi. Dan rasanya teramat elok sejarah berkenaan diceritakan semula kepada generasi sekarang seterusnya dibukukan agar ianya tak hilang begitu saja.

Ceritanya bermula sebegini.

Dalam syair Jawa Negarakartagama, tulisan Prapanncha dari Jawa pada tahun 1365, mengatakan bahawa Terengganu, Paka dan Dungun berada di bawah taklukan Majapahit. Dalam Jounnel Malaya Branch Asiatic Society vol. xxii Part 3 pula menyatakan pada pertengahan abad ke-14 Masihi, Dungun telah pun wujud bersama-sama Terengganu menjadi jajahan takluk kepada Kerajaan Majapahit. Berdasarkan kepada kenyataan itu ternyata bahawa sejak tahun 1365 lagi daerah Dungun telah pun wujud dan bertamadun.

Pada masa dahulu, Kuala Dungun merupakan lokasi untuk nelayan ke laut sahaja sedangkan pusat penempatan penduduk tertumpu di Kampung Bemban dibuka oleh Datuk Nakhoda yang datang dari pagar Ruyung, Sumatera, Indonesia pada tahun 1603.  Pada tahun 1808 terdapat 4 buah kampung iaitu Kampung Hujung Tanjung, Kampung Tengah, Kampung Balik Barat dan Kampung Ulu. Kampung Hujung Tanjung terletak di hadapan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia sekarang dan telah pun menjadi laut. Kampung Tengah pula adalah di tapak Sekolah Jenis Kebangsaan [Cina] Kwang Hwa dan Kelab China sekarang. Sementara itu Kampung Balik Barat pula di tapak Pejabat Daerah lama manakala kampung Ulu sekarang ini dikenali dengan nama Kampung Sungai Penaga. Kesemua kampung-kampung ini dihuni oleh masyarakat Melayu.

Menurut bancian pentadbiran British di tanah Melayu, dalam tahun 1921 penduduk di daerah Dungun berjumlah kira-kira 6,427 orang dan 100% berbangsa Melayu. Sementara itu menurut Haji Abdul Wahab Yunus (mantan Pengerusi Persatuan Sejarah Dungun) pula, dalam tahun 1922 keseluruhan penduduk di Kuala Dungun majoritinya Melayu. Bagaimanapun dalam pertengahan tahun 1922 orang Cina mulai datang ke Dungun dengan menumpang di tepi Kuala Sungai Dungun. Mereka membina rumah denagn reka bentuknya separuh di dataran manakala separuh lagi di dalam sungai. Sebelah hadapan rumah digunakan tempat untuk mereka berniaga manakala di belakang rumah pula tempat perahu singgah dan tempat mandi manda. 

Orang Cina menjalankan perniagaan dengan membeli barang-barang pengeluaran orang kampung seperti rotan, getah, damar dan lain-lain. Mereka turut membeli hasil nelayan iaitu ikan dan sotong. Mereka pula menjual barang-barang keperluan harian seperti beras, gula dan sebagainya kepada penduduk kampung. Orang Cina sangat pandai menjalankan aktiviti perniagaan. Mereka memberi pinjaman atau hutang kepada orang-orang Melayu terutamanya di musim tengkujuh. Mereka membuat catatan berkenaan hutang orang-orang Melayu sedangkan penduduk kampung ini pula tidak membuat apa-apa catitan kerana percaya 100% kepada peniaga Cina. 

Peniaga ini pula membiarkan hutang-hutang sehingga banyak dan apabila sudah banyak mereka menuntut supaya dijelaskan segala hutang tersebut. Orang Melayu yang tidak dapat menjelaskan hutang mereka dituntut supaya menyerahkan harta yang ada seperti tanah untuk diserahkan kepada mereka. Hasilnya terdapat banyak tanah-tanah penduduk kampung berbangsa Melayu di Kuala Dungun jatuh kepada orang Cina menyebabkan ramai orang Melayu mula berpindah dari Kuala Dungun.

Kuala Dungun mula dihuni oleh bangsa lain secara besar-besaran setelah aktifnya aktiviti perlombongan bijih besi di Bukit Besi sekitar tahun 1930-an menyebabkan berlakunya perkembangan ekonomi di daerah Dungun. Pada tahun 1933 Pegawai Daerah Dungun ketika itu menyusun bandar Dungun dengan mewujudkan balai polis, pejabat daerah, sekolah, masjid serta padang bola. Penduduk yang tinggal di Kuala Dungun dipindahkan ke kampung baru yang dipanggil Kampung Tanah Lot. Manakala jalan-jalan yang baru dibina dinamakan dengan nama panglima-panglima Dungun seperti Jalan Panglima, Jalan Tambun, Jalan Pak Dagang dan lain-lain. Kawasan perumahan Tanah Lot disusun dengan teratur manakala Kuala Dungun mula dijadikan kawasan bandar dengan diwujudkan lot-lot kedai sebagai pusat perniagaan. Detik itu semakin ramai orang luar terutamanya bangsa Cina mulai datang dan membeli tanah serta lot kedai yang baru disiapkan. 

Akhirnya penempatan Melayu yang suatu ketika dahulu telah bertukar kepada penempatan kaum lain. Walaupun sekarang ini penempatan di situ sudah bertukar wajah, tidak sepatutnya warisan asal usul Kuala Dungun yang pernah menempatan komuniti berbangsa Melayu suatu ketika dahulu dilenyapkan begitu sahaja sejarahnya. Janganlah sesekali dilupakan sejarah dek kerana sikap buta sejarah, alpa dan kepentingan diri. Bak kata sejarawan Barat bangsa yang bertamadun adalah bangsa yang menghargai sejarah bangsa sendiri.

Usah menjadi bangsa pemusnah sejarah, sedangkan bangsa lain pembina sejarah.


Kuala Dungun Kuala Dungun Reviewed by Mamat Abudin on November 10, 2017 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.